Friday, July 24, 2009

Masjid kaya lupa tanggungjawab,

Terdapat masjid kaya lupa tanggungjawab sosial hasil sumbangan orang ramai atau institusi tertentu tetapi "sebaliknya berbangga mempunyai simpanan beku di bank-bank," kata seorang menteri.

"Mereka berpuas hati dengan sekadar mendapat keuntungan yang diagihkan setiap tahun tetapi tidak tahu menjanakan dana masjid itu.

"Kepimpinan masjid seperti ini tidak mempunyai kemahiran, tidak mengetahui cara membelanjakan dana tersebut untuk faedah masyarakat Islam yang memerlukannya," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Seminar Pengurusan Masjid Peringkat Asean 2009 di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Changlon malam tadi, lapor Bernama.

Sususlan itu, beliau menyarankan masjid berdana besar menjalankan tanggungjawab sosial dengan mewujudkan program berkembar bagi membantu masjid daif, terutama di luar bandar.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri perlu bekerjasama merangka skim pelaburan dana masjid atau
koperasi masjid secara berkesan.

Jamil Khir berkata, kepimpinan masjid memainkan peranan penting dalam mewujudkan keunggulan institusi masjid di samping mendapat sokongan penuh anak kariah terhadap semua aktiviti yang dianjurkan.

Beliau berkata, sebagai institusi yang juga merupakan aset umat Islam yang amat tinggi nilainya, masjid perlu menganjurkan pelbagai program yang boleh menarik kumpulan sasar terutama golongan remaja.

Katanya, institusi masjid perlu merangka program yang bukan sahaja mampu mencerminkan kesesuaian dengan semua golongan masyarakat malah juga selari dengan pemikiran masyarakat itu sendiri.

"Program yang dilaksanakan tidak hanya perlu menumpukan kepada yang berteraskan keagamaan tetapi perlu juga merangkumi program yang mempunyai nilai keduniaan," katanya.

Jul 24, 09 12:28pm